BLOG INI MELAYARI ALAM SIBER 10-02-2010

EMAIL KAMI UNTUK SEBARANG PERTANYAAN DAN SUBMIT ARTIKEL TUAN KE DDAMAI69@YAHOO.COM TQ

Jumat, 19 Februari 2010

Muhyiddin: Hukuman sebatan hukum syarak ‘agak jauh ringan’

PUTRAJAYA, Feb 19 — Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat hukuman sebatan yang dikenakan di bawah undang-undang Syariah adalah “agak jauh ringan” berbanding perundangan sivil dan beliau yakin ia tidak akan menjejaskan imej negara.

Sehubungan itu timbalan perdana menteri berkata, pendekatan yang digunakan oleh Islam adalah lebih kepada mendidik dan menginsafkan mereka yang melakukan kesalahan.

“Jadi, berbeza sekali. Sekiranya ada penjelasan sebegitu, maka tidak akan timbul tanggapan bahawa kita membuat sesuatu berbeza, malahan daripada segi hukuman yang dilakukan itu, ia agak jauh ringan.

“Kalau yang hukum bunuh itu, berbeza sekali,” kata selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.

Muhyddin yang juga timbalan presiden Umno berkata Jabatan Agama Islam negeri perlu memainkan peranan daripada segi memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebatan yang telah dilaksanakan terhadap tiga pesalah wanita.

Beliau berkata langkah itu penting bagi perkara itu difahami bukan sahaja masyarakat di dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa agar tidak timbul tanggapan serong tentang apa yang berlaku di negara ini.

“Yang penting sekarang ini, Jabatan Agama Islam negeri-negeri mungkin dengan kerjasama kita juga untuk memberi satu pendidikan, dan daripada segi soal pemahaman apakah sebenarnya (hukuman sebatan).

“Kerana ini sudah lama diperuntukkan dalam undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri-negeri, dan ini bukan dalam bidang kuasa Persekutuan, (ia) dalam bidang kuasa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebatan yang dilaksanakan di negara ini telah mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan tempatan juga mempertikaikan hukuman sebatan ke atas kaum wanita sambil menyifatkannya sebagai tidak perikemanusian.

Tiga wanita, berusia antara 18 hingga pertengahan 20-an telah menjalani sebatan mengikut kaedah syarak pada 9 Feb lalu di Penjara Wanita Kajang kerana melakukan persetubuhan haram sehingga melahirkan anak luar nikah.

Ketiga-tiga wanita itu menerima hukuman atas keterlanjuran mereka apabila menyerah diri kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Muhyiddin berkata terdapat peruntukan di peringkat negeri, iaitu di bawah Mahkamah Syariah untuk menghukum mana-mana umat Islam yang melakukan kesalahan dan ia adalah sah daripada segi undang-undang dan hukum syarak.

Katanya penjelasan perlu dilakukan kerana pelaksanaan hukuman sebat syarie masih baru.

Muhyiddin berkata media turut berperanan membantu memberi penjelasan berhubung pelaksanaan hukuman itu, yang mungkin pada tanggapan masyarakat antarabangsa ia adalah seperti hukuman jenayah, disebat sehingga boleh menyebabkan kematian

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

 
About Me | Author Contact | Template Basic On Friendster | Powered By Blogspot | © Copyright  2010